Saturday, October 10, 2009

::Bersangka Baiklah Kepada Tuhan::


Dipetik dari laman web iluvislam.com

"While people sleep, we work. While people work, we work ahead,"
Saya tidak akan lupa kata-kata itu.


Ianya terucap kira-kira 15 tahun lalu oleh pengetua kolej,
Mr. PMS Jassal ketika saya menekuni pengajian A-Level,
jurusan undang-undang di Juara Academy College di ibu kota.


Waktu itu, saya adalah pelajar Melayu tunggal dan 'tunggul'
dalam kelas seramai 30 orang itu. Berkecamuk fikiran
pada hari pertama saya mendaftar. Masakan tidak,
sudahlah 'solo' ditambah pula dengan 'sepatah haram'
saya tidak memahami apa yang diajar.

Bukan sehari tetapi berjangkit sehingga lebih sebulan!

Tidak cukup dengan itu, saya sering menjadi bahan ketawa
rakan-rakan sekelas dan pensyarah lantaran kegagalan saya
untuk membuat 'presentation' jauh sekali untuk mendapat
tempat teratas dalam carta kelas.


Lebih menambahkan pedih dan pilu di jiwa,
apabila ada seorang pelajar 'best student' dalam kelas mencabar
sambil menghunuskan jari telunjuknya tepat ke muka saya.
"At the end of the day, nobody can touch me, especially you!"
katanya pada saya, terkelipot-kelipot malu.


Seorang pelajar wanita pula, bertaruh untuk menjamu saya makan
di hotel lima bintang, sekiranya berjaya mendapat keputusan cemerlang.


Saya percaya, dia berani bertaruh kerana yakin
yang saya tidak akan menggapai bintang.
Betul-betul menghinakan.


Kawan-kawan seperti Manoj Kumar, Manimaran, Azman Sagau
dan Ronnie menenangkan saya. Mereka memberi perangsang
dan selalu membantu, apa yang saya tidak tahu.


Setelah enam bulan berlalu di kolej itu,
saya sering bertemu dengan pensyarah Baljit Singh Sidhu
untuk mendapat 'evaluation' atau penilaian ke atas prestasi
pengajian saya selama ini dan seperti yang dijangkakan
jawapannya cukup mendukacitakan.

"Aaa...don't worry. Bottom line, you boleh pass...,"
katanya tergesa-gesa. Sedih. Bukannya pangkat A, B atau C
tetapi sekadar lulus cukup makan sahaja..



Suatu malam, ketika gelisah untuk melelapkan mata
dan merawang masa depan yang kabur,
tertangkap kalimah kudus dari ibu tercinta
sebagai kata-kata azimat ketika menjejak kaki di ibu kota
untuk menuntut ilmu.


"Mak tak boleh tengok dan jaga anak mak setiap masa.
Mintalah Allah supaya jaga dan selamatkan anak mak.
Jika susah, mintalah pada Allah, pasti Dia perkenankan.
Percayalah..."kata Azizah Jasin,
ibu tercinta kepada saya sambil memetik bait-bait ayat kalimah tuhan.


"Dan Tuhan kamu berfirman:
"Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan
doa permohonan kamu."
(Surah Ghafir ayat 60)


Saya bingkas, lalu mengerjakan solat dua rakaat.
Tewas, akhirnya air mata basah di hujung sejadah.


Mulai hari itu, saya tidak menoleh lagi.
Saya berusaha sedaya dan sekuat mungkin.
Kamus sentiasa di sisi, tiap kali saya membuka buku.
Buku seperti English Legal System, Constitutional Law,
Jurisprudence setiap helaiannya saya ulangi sampai lapan kali!

Malah, saya hantar tugasan-tugasan dan 'asignment'
berkajang-kajang kepada pensyarah untuk disemak,
bertanya soalan-soalan bertubi-tubi sehingga kelihatan
'membosankan' bagi mereka.


Saya kemudian beranikan diri bercakap di khalayak, walaupun
'broken English.' "Apa nak malu, janji saya maju.
Biar mereka ketawa atau sendawa, janji saya berjaya,"
getus hati cuba menceriakan hari.


Waktu itu, barulah saya tahu, doa dan kerja keras (rajin, usaha)
adalah pembuka jalan kejayaan.
Mungkin ini ayat 'cliche' atau 'stereotype'.
Hakikatnya hidup ini tidak ada yang 'short cut'.


Selepas doa itu, setiap apa yang saya pelajari, hafal dan faham
datang dengan begitu mudah.
Dikenal ketika senang, dilupa ketika susah

"While people sleep, we work. While people work, we work ahead,"
kata Jassal masih terngiang-ngiang di telinga saya...


Dan di saat saya menjalani proses lipat kali ganda usaha,
baru saya tahu,
kerajinan orang Cina dan orang Putih atau kaum-kaum lain
membuatkan mereka berjaya.

"Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan
mengikut keupayaannya. Baginya apa yang diusahakan
dan ke atasnya akibat apa yang diusahakan." (Surah Al-Baqarah: 286)


Begitu juga dengan surah Ar-Ra'ad (ayat 11):
"Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum,
melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya."


Ya, saya yakin doa akan dimakbulkan Tuhan.
Usaha gigih dapat balasan setimpal.
Tak kira siapa, Melayu, Cina, India dan Mat Salleh
juga akan dapat balasan, jika usaha lebih.
Bukan masalah otak.


Dulu ketika mengerjakan umrah,
saya pernah berdoa yang 'bukan-bukan' di depan Kabaah.
Ketika itu, tahun 1990 usia saya menjangkau 16 tahun.
Akibat terlalu obses dengan cerita-cerita aneh, mistik
dan misteri di Makkah dan Madinah,
saya mula memanjatkan doa,untuk melihat bukti kuasa Tuhan.


"Ya Allah, jika benar makbul doa di sini, hilanglah seliparku."
Begitu dangkal doa saya dan cuba menguji Tuhan.


Sebelum itu telah saya sorokkan selipar buruk
di suatu sudut di pintu masuk Masjidil Haram.
Ringkaskan cerita,
Tuhan makbulkan permintaan saya yang pendek akal ini.
Hilang selipar saya, walaupun ianya buruk.


Dan lebih parahkan lagi keadaan, selipar saya hilang
setiap kali saya beli yang baru,
dan berlanjutan selama enam hari!
Mengelabah, pucat dan panik saya dibuatnya.


Saya cuba menyembunyikan peristiwa itu daripada ayah saya,
yang mula kehairanan apabila setiap hari,
tiap kali pulang daripada masjid meminta 5 ke 10 Riyal
(lebih kurang RM 5.00 ke RM10.00).
Tujuannya hanya untuk membeli selipar baru.


Pernah sekali, saya berkaki ayam dari Masjidil Haram
pulang ketempat penginapan sambil ditertawakan orang Arab
yang lalu lalang. Apa boleh buat, itu balasan Allah,
pada saya yang mulut celupar.


Dua hari terakhir di Makkah, saya berteleku di depan Kabaah,
memperbaharui doa semula dengan penuh rasa insaf..


Sejak doa itu, selipar saya tidak hilang lagi.
Ya, Allah sentiasa selamat dan perkenankan doa saya.
Begitu juga yang orang lain.
Berusaha dan mintalah, percayalah Allah tidak mengecewakan..


Alhamdullillah,
tidak menghampakan apabila Allah kabulkan juga doa saya
untuk melintasi peperiksaan A-Level yang diduduki.
Walaupun usaha tidak setara mana, tetapi kuasa Allah
mengatasi segala-galanya.


Ketika keputusan A-Level diumumkan, saya sedang 'bercuti' dan
'mengaji' di sebuah sekolah pondok di selatan tanahair.
Manoj dan Manimaran menghubungi saya melalui telefom awam.
Masa itu tidak bercambah lagi, telefon bimbit.


"Congratulations! You and Patricia are the best student in the college.
Come drop by, take your exam transcript," ujar Manoj.
Barangkali kedua-duanya kini sudah bergelar peguam.


Keesokannya saya sudah terpacak di kolej
di Jalan Hang Lekiu,Kuala Lumpur untuk mengambil keputusan
dan teka apa yang berlaku?


Pensyarah dan pengetua mula mengerumuni.
Menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran
dan melahirkan pujian berguni-guni.


Yang menghunus jari telunjuk ke muka,
yang bertaruh untuk menjamu selera dan
yang gelak ketawakan saya, hilang entah ke mana.


Ya, kita dikenang dan dikenal ketika di puncak.
Diapung, diangkat dan dijulang ketika senang.
Namun ketika susah, pahit dan payah, siapa pun tidak tahu...
malah menjarakkan diri,
kata benak saya melihat watak-watak yang ada di depan mata.


Biarlah..
Ya, akhirnya bila kita berusaha, berdoa dan bersabar,
nescaya Allah perkenankan dan selamatkan kita...percayalah.


"Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang bersabar."
(Surah al Baqarah ayat 155)

3 comments:

Na Shari said...

Thanks Maria...For sharing this story...Akak nangis baca entri ni...

ASYIQ said...

Bagus cerita ni Maria...memang pun, org Melayu susah nk cemerlang sbb kurang usaha.

Jadi kalau kita otak bijak ditambah pulak dgn usaha yg berlipat kali ganda...insyaAllah kita jg akan cemerlang.

Semangat ini selalu cu terapkan pada anak2 spy jangan leka dan jgn rasa selesa...atau lemau dalam zon selamat.

adeqya84 said...

Sis Dina,
ini antara artikel favourite sy..waktu2 sy hilang semangat, ini ubatnya...sis..sharing is caring..;)i want to share this article with all my buddies

Cu Syikin,
betul Ya setuju, dan Ya percaya semua tu usaha+doa+tawakal=kejayaan..
Allah Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk kita...Cu, Ya doakan kejayaan kaklong & kakngah dlm peperiksaan thn ni..i.Allah..;)